Projek bina SPK Ensengei Melayu capai 39 peratus

GEDONG: Skim Pembesaran Kampung (SPK) Ensengei Melayu kini sedang dalam pembinaan dengan kos RM13.38 juta dijadual siap penghujung tahun 2026.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Safiee berkata, skim ini melibatkan sebanyak 143 lot rumah untuk penempatan penduduk kampung pada masa akan datang, dengan keutamaan kepada penduduk yang rumahnya terjejas atau berhampiran kawasan sungai susur.

“Menurut Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Samarahan, sehingga kini projek infrastruktur di bawah skim ini telah mencapai kira-kira 39 peratus kemajuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Ramah Tamah Kampung Ensengei di Dewan Kampung Ensengei, di sini, hari ini.

Rodiyah berkata, skop pembinaan termasuk nembok, jalan, parit dan berkaitan dan apabila infrastruktur ini siap akan memudahkan penduduk kampung khususnya generasi muda untuk membina rumah dengan lebih terancang dan selesa.

“Kita berharap projek ini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan Kampung Ensengei sebagai sebuah kawasan penempatan yang lebih tersusun dan maju,” tambahnya.

Tambahan pula, katanya Kerajaan Sarawak sedang membangunkan jalan yang akan menghubungkan Batang Samarahan terus ke Batang Sadong tanpa perlu melalui Asajaya dan Sadong Jaya yang menjadikan perjalanan ke Kuching lebih dekat dan mudah.

Sehubungan itu, beliau ingin berpesan mereka tidak mudah menjual tanah kepada orang luar dan menyimpannya sebagai aset untuk anak cucu mereka kerana nilainya akan terus meningkat dengan pembangunan yang ada.