KUCHING: Sarawak kini merupakan antara benteng terakhir bagi hutan hujan tropika dunia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini kerana Sarawak mempunyai lebih 7.6 juta hektar litupan hutan terbabit.
“Litupan hutan meliputi kira-kira 62 peratus keluasan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika semasa merasmikan Seminar Ekspedisi Hutan Simpan Sabal dan Hutan Simpan Simunjan 2026 anjuran Jabatan Hutan Sarawak (JHS) di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi dan Pengurus Besar, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran.
Awang Tengah berkata, Sarawak mengambil pendekatan jelas iaitu tidak memilih antara pembangunan dan pemeliharaan, sebaliknya memastikan kedua-duanya bergerak seiring melalui dasar pengurusan hutan mampan.
“Melalui Polisi Guna Tanah Negeri, sejumlah tujuh juta hektar kawasan berhutan diperuntukkan untuk pengurusan hutan mampan dan pemeliharaan,” tambahnya.
Jelasnya, ini termasuk pewartaan Hutan Simpan Kekal serta Kawasan Terlindung Sepenuhnya yang kini mencecah lebih dua juta hektar.
