KUCHING: Pengumuman bantuan tambahan kepada rakyat Sarawak akan diketahui esok.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan tersebut bagi membantu rakyat khususnya golongan rentan meringankan beban kos sara hidup yang kian meningkat susulan krisis di Timur Tengah.
Katanya, krisis tersebut turut menyebabkan ketidaktentuan ekonomi serta kenaikan harga barang di Sarawak dan memerlukan intervensi segera dari kerajaan negeri.
“Kerajaan Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS), kekal komited melaksanakan dasar dan inisiatif bagi mengurangkan impak kenaikan kos, khususnya kepada kumpulan rentan.
“Insya-Allah, pada Khamis ini, saya akan mengumumkan apa yang ingin saya berikan kepada rakyat Sarawak kerana kos sara hidup ini,” katanya.
Perkara ini diumumkan oleh beliau semasa berucap dalam dalam Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 BPHB di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai krisis global ini, Abang Johari memberitahu, Sarawak mengambil pendekatan proaktif dan berorientasikan masa depan.
Ujarnya, Pelan Hala Tuju Gas Sarawak memastikan sumber negeri ini digunakan secara strategik untuk menjana makna ekonomi jangka panjang terutamanya sebagai pengeluar metanol dengan sumber gas ini diperluaskan melalui aktiviti hiliran.
Selain itu jelasnya, Kerajaan Sarawak juga mempercepatkan peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui dan tenaga bersih yang memberikan keselamatan tenaga melalui pelbagai sumber seperti penggunaan hidrogen, tenaga hidro dan tenaga hijau.
Tambahnya lagi, Kerajaan Sarawak juga memastikan manfaat sumber negeri ini diterjemahkan kepada sokongan nyata kepada rakyat.
“Ini termasuk bantuan bersasar, pembangunan infrastruktur dan program ekonomi yang bertujuan mengekalkan kemampuan sara hidup serta meningkatkan kualiti kehidupan,” jelasnya.
Sementara itu tegasnya, BPHB perlu memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh sistem pengurusan pelabuhan masa hadapan.
Katanya, perkembangan pesat teknologi AI termasuk kecerdasan buatan generatif dan evolusi terkininya akan mengubah landskap industri global, termasuk sektor logistik dan pelabuhan.
Menurutnya, sistem pengurusan data global dijangka berubah untuk lima tahun akan datang kepada rangkaian baharu dikenali sebagai AI grid, yang membolehkan aliran maklumat lebih pantas dan bersepadu tanpa bergantung sepenuhnya kepada pusat data.
“Justeru, kita perlu mengadaptasi teknologi ini, khususnya dalam urusan transaksi kargo.
“Apabila kapal berlabuh di pelabuhan, dokumentasi termasuk prosedur kastam dan lain-lain akan diselesaikan dengan segera di mana kapal hanya perlu berlabuh, memunggah kargo dan terus bergerak ke destinasi seterusnya.
“Inilah cara pelabuhan akan diuruskan pada masa hadapan maka kita memerlukan kepakaran dalam pengurusan pelabuhan,” katanya.
Tambahnya, mengadaptasi teknologi ini amat penting kepada Pelabuhan Bintulu disebabkan lokasi strategik antara Barat dan Timur, menghubungkan laluan dari Eropah, Terusan Suez, India dan seterusnya ke Asia Timur serta China.
Hadir sama, anak Premier Sarawak Dayang Norjihan, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan Sarawak dan Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
