80 projek BALB diserah pada Sarawak, percepat bekalan air luar bandar

KUCHING: Kerajaan Persekutuan menyerahkan sejumlah 80 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sarawak bernilai RM3.47 bilion kepada kerajaan negeri.

Ia merupakan langkah strategik mempercepatkan penyampaian infrastruktur asas kepada rakyat luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu mencerminkan komitmen bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memastikan pelaksanaan projek berjalan lebih cekap dan berimpak tinggi.

Menurut beliau, penyerahan pelaksanaan kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dijangka dapat mempercepatkan proses penyediaan bekalan air yang sebelum ini diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan RMK-12.

“Daripada keseluruhan 80 projek, sebanyak 50 projek kini dalam pelaksanaan, sembilan sudah siap, 20 berada peringkat pasca pelaksanaan manakala satu projek dibatalkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan projek BALB di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.

Ahmad Zahid menegaskan walaupun terdapat kekangan dalam pelaksanaan sebelum ini, kedua-dua kerajaan sepakat mencari pendekatan penyelesaian termasuk meneliti semula beberapa peraturan yang menjadi halangan.

Katanya, perundingan turut melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan bagi memastikan proses penyerahan dan pelaksanaan berjalan lancar tanpa menjejaskan aspek perundangan.

Dalam masa sama, beliau menyambut baik cadangan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang mencadangkan pendekatan lebih efisien bagi mempercepatkan projek tanpa mengabaikan peraturan sedia ada.

“Sarawak mempunyai perancangan tersendiri untuk mencapai liputan bekalan air penuh menjelang 2030 dan setakat ini, pelaksanaan oleh kerajaan negeri telah mencapai kira-kira 93 peratus, satu pencapaian yang amat baik,” jelasnya.

Terdahulu, keputusan penyerahan projek BALB Sarawak kepada kerajaan negeri telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2026.

Sebanyak RM141.87 juta turut diperuntukkan di bawah Rancangan Boleh Pinda Satu (Rolling Plan Pertama) (RP1),(RMK-13) bagi tahun ini untuk memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.