KUCHING: Usaha membendung penularan rabies terus dipergiatkan menerusi pelaksanaan program perintis Vaksin Rabies Oral (ORV) di Taman Malihah.
Langkah ini bagi memastikan keselamatan orang awam terus terjamin susulan kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun akibat wabak itu di kawasan tersebut baru-baru ini.
Program anjuran Sarawak Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SSPCA) itu bertujuan meningkatkan kadar vaksinasi anjing liar melalui kaedah umpan vaksin, sekali gus mengekang penularan penyakit rabies dalam komuniti.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman turut hadir meninjau pelaksanaan program berkenaan yang diadakan hari ini.
Inisiatif tersebut melengkapi usaha vaksinasi suntikan sedia ada oleh kerajaan negeri dengan pendekatan lebih menyeluruh, khususnya bagi menangani populasi anjing liar yang sukar ditangkap.
Menurut SSPCA, pelaksanaan program melibatkan latihan awal, vaksinasi besar-besaran, vaksinasi dari rumah ke rumah serta tinjauan pasca vaksinasi dengan 25 pasukan digerakkan sepanjang operasi.
Kerjasama strategik turut melibatkan organisasi antarabangsa seperti World Veterinary Services dan Mission Rabies bersama sukarelawan tempatan serta pihak berkuasa kesihatan bagi menilai keberkesanan pendekatan ini.
Sebagai langkah susulan, satu kajian selama 12 bulan akan dilaksanakan bagi menilai keberkesanan vaksin ORV, termasuk penggunaan terhadap anak anjing yang belum divaksin dengan penglibatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
