SARATOK: Projek pembinaan jalan perhubungan baharu daripada Rumah Panjang Senyawan ke jalan masuk Saratok di sini yang sudah dilulus dijangka ditender Disember ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek itu melibatkan kos sebanyak RM38.5 juta telah diluluskan dalam mesyuarat 30 September lalu dan akan ditender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, sesi libat urus bersama semua pemilik tanah akan diadakan bagi membincangkan pembayaran pampasan pada 9 Oktober ini.
“Selepas semua pampasan dibayar, kita jangka projek dapat ditender menjelang Disember,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Pertandingan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M di Masjid Al-Muhtadin, di sini semalam.
Mohamad Duri menjelaskan, pembinaan jalan itu amat penting kerana ia akan menghubungkan melalui jalan darat dua kawasan tanah perkuburan baharu dibeli Lembaga Amanah Kemajuan Islam Saratok (LAKIS) yang sebelum ini hanya boleh diakses melalui sungai.
“Ia juga akan memendekkan perjalanan dari Rumah Panjang Senyawan ke Saratok sejauh kira-kira 3.7 kilometer,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa projek Tebingan Saratok akan ditender pada tahun baharu manakala projek menaik taraf pintu air di Kampung Pagan antara yang akan ditender bulan ini.
Mohamad Duri berkata satu lagi projek penting ialah pembinaan talian grid 33 kilovolt (KV) baharu dari Kampung Kaba ke Simpang Nyabor, bagi meningkatkan bekalan elektrik di kawasan luar bandar.
“Projek ini akan memastikan bekalan elektrik di Kampung Kaba, Kampung Perpat, Lubok Nibong dan sekitar tujuh rumah panjang tidak terputus, kerana kita akan ada bekalan sokongan daripada Pusa sekiranya bekalan dari Sarikei terjejas,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa pada Persidangan DUN November ini, beliau akan memohon projek tambahan bagi menyambung monopole 33,000kV dari Sub-Stesen Serudit ke Saratok, yang akan menambah kepada empat punca bekalan elektrik ke kawasan berkenaan.
