Projek naik taraf Jambatan Sungai Bintangor bakal siap April 2025

KUCHING: Projek naik taraf Jambatan Sungai Bintangor di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini dijadual siap pada April tahun depan.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Ir. Aidel Lariwoo berkata projek mengalami kelewatan disebabkan masalah di tapak pembinaan dengan mengalihkan utiliti dan masalah teknikal lain.

Katanya, berikutan itu projek terbabit telah diberikan lanjutan masa keseluruhannya sebanyak 819 hari atau dua tahun lebih setelah pemajunya membuat permohonan lanjutan masa sebanyak 12 kali sejak projek terbabit bermula 2019 lalu.

“Kita difahamkan sudah diselesaikan masalah yang paling besar sekali iaitu (mengalihkan) utiliti dan harap lepas ini kontraktor boleh sambung kerja (projek) dengan lancar. Ia sepatutnya siap April tahun depan selepas mengambil kira lanjutan masa yang diberi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media sebelum melawat projek terbabit di sini, hari ini.

Aidel berkata, ketika ini kemajuan fizikal projek itu ialah sekitar 63.04 peratus berbanding jadual 69.86 peratus iaitu mengalami kelewatan sebanyak 6.82 peratus.

Menurutnya, projek asalnya membabitkan kos sebanyak RM50.6 juta tetapi selepas mengambil kira kerja cerucuk yang mempunyai penjimatan dari kontrak asal maka kosnya kini berkurangan kepada RM47.75 juta.