KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak mengalu-alukan pelabur dari luar yang berminat berkolaborasi dengan Sarawak untuk meneroka potensi negeri ini dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, minyak dan gas serta makanan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kepimpinannya telah melihat peluang yang luas dalam sektor ini ketika dunia bergelut dengan isu perubahan iklim, peralihan tenaga dan keselamatan makanan.
Katanya, Sarawak telah diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi tetapi tumpuan kerajaan sekarang untuk menterjemahkan status berpendapatan tinggi kepada pendapatan isi rumah yang tinggi.
“Sarawak bergantung pada industri tenaga boleh diperbaharui, Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dan minyak dan gas untuk mengubah ekonomi tempatan agar dapat meningkatkan pendapatan isi rumah Sarawak.
“Bagi tujuan ini, semua aktiviti berkaitan minyak dan gas dan CCUS di Sarawak mesti mematuhi lima set undang-undang yang membentuk rangka kerja pengawalseliaan. Ini untuk memastikan Sarawak dan rakyatnya mendapat manfaat daripada industri ini,” katanya.
Abang Johari berkata demikian dalam ucaptama pada Siri Invest MIDA yang diadakan di ibu pejabat MIDA, di Kuala Lumpur, semalam.
Jelasnya, tanah adalah urusan negeri, aktiviti dalam sektor minyak dan gas dan ruang CCUS perlu mematuhi Kanun Tanah Sarawak (1958) yang merangkumi pelantar benua dan dasar laut.
Selain itu katanya, Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) (1958), satu lagi undang-undang pra-Malaysia yang mengawal selia perlombongan minyak di Sarawak juga masih berkuat kuasa untuk mengawal aktiviti masa kini dalam industri O&G.
Manakala Ordinan Pengagihan Gas (2016) memberi kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk mengawal selia pengagihan gas di tanahnya yang juga termasuk pelantar benua.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan juga telah menggariskan pelbagai hak Sarawak yang mesti sentiasa dijunjung dan dihormati.
“Perjanjian Malaysia (1963) yang telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan adalah satu lagi undang-undang yang membentuk rangka kerja kawal selia,” tambah beliau.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazlan Abang Hipni.
