Segerakan siasatan menyeluruh kenal pasti punca pelajar maut renjatan elektrik

DARO: Satu siasatan menyeluruh perlu segera dilaksanakan bagi mengenal pasti punca insiden renjatan elektrik yang meragut nyawa seorang pelajar di sebuah sekolah di Daro, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad.

Beliau berkata, tragedi itu amat menyedihkan dan perlu dijadikan pengajaran bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, selain menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Kementerian Pendidikan bersama agensi berkaitan difahamkan akan menjalankan siasatan terperinci, dengan harapan hasilnya dapat menjelaskan punca kejadian,” katanya berhubung insiden tersebut.

Dr Safiee turut menekankan keperluan meneliti semula sistem pendawaian elektrik di sekolah terbabit, termasuk kemungkinan kerja-kerja tambahan yang tidak mengikut spesifikasi atau dilakukan pihak tidak bertauliah.

Beliau berkata, insiden itu wajar dijadikan titik tolak untuk pemeriksaan keselamatan di semua sekolah, khususnya bangunan lama dan berasaskan kayu, tanpa terlalu menitikberatkan kos berbanding keselamatan pelajar.

Selain itu, beliau mencadangkan penggunaan bahan seperti paip besi di kawasan sekolah dinilai semula bagi mengurangkan risiko renjatan elektrik.

Dr Safiee turut menekankan kepentingan pendidikan keselamatan elektrik kepada pelajar, termasuk tindakan awal yang betul ketika berdepan kejadian renjatan bagi mengelakkan lebih ramai mangsa.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat tuduhan tidak berasas serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Beliau turut berharap keluarga mangsa tabah menghadapi ujian itu dan pelajar yang cedera segera pulih.