Penyerahan Pelabuhan Bintulu pada Sarawak tingkatkan kelestarian ekonomi

KUCHING: Sebanyak empat justifikasi digariskan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee bagi menyokong Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan (Pembubaran) Bintulu.

Justifikasi yang pertama menurutnya ialah melihat semula sejarah pelabuhan Bintulu.

Bermula pada 1969, Parlimen telah meluluskan Declaration Of An Area In Bintulu District To Be A Federal Port Act, 1979 (Act 217) dan seterusnya, Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan Pelabuhan Bintulu sebagai sebuah pelabuhan persekutuan,katanya.

“Bagaimanapun, menurutnya Akta 217 ini telah diluluskan tidak melalui Dewan Undangan Negeri Sarawak seperti termaktub dalam Artikel 76(1)(C) Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang- Undang Lembaga Pelabuhan (Pembubaran) Bintulu 1981.

Justifikasi kedua menurutnya ialah pelabuhan Bintulu adalah hak Sarawak mengikut lunas perlembagaan persekutuan.

”Di bawah perkara 15 Senarai IIA Perlembagaan Persekutuan, Pelabuhan dan Pangkalan (kecuali yang diisytiharkan sebagai pelabuhan persekutuan) adalah di bawah kuasa legislatif Negeri Sabah dan Sarawak.

”Tiada pelabuhan milik Kerajaan Persekutuan di Sarawak semasa Sarawak menyertai pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang mana semua pelabuhan di Sarawak pada masa itu adalah ditubuhkan di bawah Ordinan Pelabuhan 1961,” jelasnya.

Seterusnya, pembangunan pelabuhan Bintulu harus bersekali dengan pelabuhan-pelabuhan lain di Sarawak berikutan pelabuhan itu dijangka berkembang dan maju sebagai salah satu daripada kluster Pelabuhan Sarawak yang akan dikawal oleh Lembaga Pelabuhan Sarawak.

Selain itu, justifikasi keempat ialah Pelabuhan Bintulu adalah untuk rakyat Sarawak.

Jelas Rodiyah, penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak adalah keputusan bijak untuk meningkatkan aktiviti ekonomi di negeri ini, mengintegrasikan semua pelabuhan di bawah pelan induk dan memastikan kelestarian pertumbuhan ekonomi.