SIBU: Persiapan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 bagi Kluster Sibu berjalan lancar.
Timbalan Menteri Belia, Sukan, dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, Stadium Tertutup Sibu yang akan menjadi venue acara sukan badminton sudah lebih 90 peratus siap.
“Sementara, di Stadium Bola Tampar Taman Rejang pula, juga hampir 90 peratus siap. Sekarang, proses memasang skrin LED sedang dilakukan dan dijangka siap hujung minggu ini,” katanya kepada media, di sini.
Mengulas tentang persiapan venue penganjuran bola sepak di Stadium Tun Zaidi Sibu, Gerald yang juga Ketua Kontinjen Sarawak memberitahu, pihaknya menghadapi beberapa cabaran ekoran cuaca tidak menentu.
“Kontraktor kami sedang berusaha untuk menyediakan padang,” ujarnya.
Katanya, Kerajaan Sarawak akan memastikan setiap padang bola sepak untuk penganjuran SUKMA berada dalam keadaan baik.
“Kami tidak mahu persepsi negatif dari negeri lain, kita minta Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Bola Sepak Sarawak memantau kontraktor terbabit,” tegas beliau.
Terdahulu, Gerald melawat persiapan di Stadium Tertutup Sibu dan Stadium Bola Tampar di Taman Rajang.
Bahagian Sibu bersedia untuk menganjurkan tiga acara sukan untuk SUKMA iaitu Badminton, Bola Tampar dan Bola Sepak, yang dijadual dari 12 hingga 27 Ogos.
