RUU Akta Penjagaan Ibu Bapa perlu ambil kira cabaran ekonomi

KUCHING: Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penjagaan Ibu Bapa perlu dirangka dengan mengambil kira keadaan sebenar masyarakat termasuk cabaran ekonomi dan struktur keluarga masa kini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pendekatan itu penting kerana setiap keluarga mempunyai situasi berbeza.

“Ada anak yang masih bergelut dengan pendapatan tidak menentu selain perlu menyara keluarga sendiri, sekali gus menjejaskan kemampuan menjaga ibu bapa sepenuhnya.

“Keadaan tersebut membuktikan isu penjagaan warga emas tidak boleh dilihat hanya dari sudut tanggungjawab anak semata-mata tanpa bantuan sistem sokongan yang menyeluruh,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Yunus hadir sama.

Beliau turut menjelaskan terdapat warga emas yang hidup bersendirian, tidak mempunyai waris atau hanya menumpang bersama saudara-mara untuk meneruskan kehidupan.

Dalam masa sama, beliau berkata kebanyakan ibu bapa sebenarnya mahu menghabiskan usia tua di rumah sendiri bersama ahli keluarga tersayang, selari dengan budaya masyarakat tempatan.

“Sehubungan itu, kita berharap agar Sarawak dilibatkan dalam perbincangan pembentukan RUU berkenaan supaya dasar yang diwujudkan benar-benar sesuai dengan keperluan rakyat di negeri ini,” katanya.