KUCHING: Sijil Pengiktirafan Sarawak Delta UNESCO Global Geopark (UGGp) disampaikan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis ringkas di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
Sijil berkenaan disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta penasihat kepada Sarawak Delta UGGp, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Geopark merujuk kepada kawasan yang memiliki tapak serta landskap geologi berkepentingan antarabangsa atau kebangsaan dan diurus secara holistik berteraskan elemen pemeliharaan, pendidikan serta pembangunan lestari.
Sarawak Delta UNESCO Global Geopark yang meliputi kawasan seluas kira-kira 3,112 kilometer (km) persegi menampilkan keunikan geologi, biodiversiti istimewa termasuk habitat orang utan, selain warisan budaya masyarakat peribumi yang berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan.
Pengiktirafan tersebut turut mencatat detik bersejarah buat Sarawak selepas 17 tahun usaha berterusan pelbagai pihak yang diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak dalam merealisasikan pengiktirafan bertaraf antarabangsa itu.
Ia sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak di peringkat global dalam aspek pemuliharaan khazanah alam semula jadi serta warisan budaya.
Terdahulu, delegasi Sarawak Delta yang diketuai Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh menerima sijil pengiktirafan tersebut daripada UNESCO di Paris pada 27 April 2026.
