KUCHING: Acara perlumbaan berbasikal ikonik, (SIMBC) 2026 kembali menemui peminat sukan lasak untuk edisi ke-11 yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos ini di trek berbasikal Kaki Bukit Siol.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran kali ini mencatat pencapaian membanggakan apabila mendapat pengiktirafan daripada Union Cycliste Internationale (UCI), badan induk dunia yang menyelia sukan berbasikal.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut sekali gus menyaksikan Kuching dipilih sebagai antara lokasi bagi siri liga akhir UCI di Sarawak, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hos yang diyakini bagi penganjuran acara sukan bertaraf dunia.
“Pengiktirafan ini bukan mudah untuk dicapai. Badan dunia seperti UCI bukan sekadar memberi pengiktirafan, tetapi mereka menilai apa yang telah kita lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya, Baitulmakmur 2, Petra Jaya hari ini.
Tambahnya, penganjuran SIMBC saban tahun berjaya menarik penyertaan pelumba dari dalam dan luar negara, sekali gus mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan yang semakin berkembang.
Bagi edisi kali ini, kira-kira 250 pelumba dijangka mengambil bahagian, melibatkan peserta antarabangsa dan tempatan termasuk dari Indonesia, Filipina, Brunei dan Singapura.
SIMBC yang terkenal dengan laluan mencabar di kawasan Siol, Petra Jaya bukan sahaja menguji ketahanan fizikal pelumba, malah menawarkan pemandangan alam semula jadi yang unik, menjadikannya antara acara berbasikal lasak yang semakin mendapat perhatian di rantau ini.
