KUCHING: Sarawak terus memperkukuhkan sektor kesihatan negeri melalui pembangunan hospital, penyelidikan klinikal bertaraf antarabangsa serta pelaburan besar dalam rawatan kanser demi manfaat rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Sarawak kini semakin mendapat perhatian dunia, khususnya dalam bidang kesihatan dan penyelidikan perubatan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana besar bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada rawatan kesihatan terbaik, termasuk pembinaan hospital kanser moden di negeri ini.
“Apabila kerajaan pusat menyatakan kekurangan dana untuk hospital kanser, Kerajaan Sarawak tampil membantu kerana kita mahu rakyat mendapat kemudahan rawatan terbaik,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan rasmi Affin Bank cawangan Batu Kawa, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad, Musa Abdul Malek, Pengerusi Affin Hwang Investment Bank Berhad, Hasli Hashim; Pengerusi Affin Moneybrokers, Admiral Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin serta Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Dato Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, pembangunan sektor kesihatan di Sarawak bukan sahaja penting untuk rakyat negeri ini, malah turut menyumbang kepada kemajuan sektor kesihatan Malaysia secara keseluruhan.
Katanya, Sarawak kini muncul sebagai antara pusat penyelidikan klinikal utama di rantau Asia Pasifik menerusi kejayaan Hospital Umum Sarawak dan Clinical Research Malaysia.
Sejak 2012 hingga 2025, sektor penyelidikan klinikal berjaya membawa masuk kira-kira USD1.8 bilion dana penyelidikan ke Malaysia, selain mewujudkan lebih 3,500 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Lebih membanggakan, Hospital Umum Sarawak (HUS) dipilih sebagai satu-satunya hospital di rantau Asia Pasifik untuk menjalankan ujian klinikal “first-in-human” bagi rawatan kanser darah oleh syarikat farmaseutikal multinasional dari Switzerland, Roche.
Dr Sim berkata, pemilihan Sarawak oleh syarikat farmaseutikal bertaraf dunia membuktikan negeri ini mempunyai kemampuan, kepakaran dan ekosistem kesihatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau berkata Pusat Jantung Sarawak kini tersenarai antara 100 pusat jantung terbaik di Asia Pasifik, sekali gus membuktikan institusi kesihatan di negeri ini tidak lagi ketinggalan walaupun terletak di Pulau Borneo.
Selain pembangunan infrastruktur kesihatan, Kerajaan Sarawak turut memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat menerusi bantuan kesihatan, bantuan kewangan kepada warga emas serta golongan berpendapatan rendah.
Dr Sim menegaskan, kerajaan negeri mempunyai visi menjelang 2030 bagi memastikan pembangunan infrastruktur, ekonomi dan kesihatan bergerak seiring demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
