BRISTOL: Kerajaan Sarawak menerusi SMD Semiconductor meneroka kerjasama strategik dengan pihak di United Kingdom (UK) bagi mereka bentuk cip semikonduktor bertaraf global serta sistem teknologi satelit bagi merealisasikan misi melancarkan satelit pertamanya sendiri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah tersebut menandakan lonjakan besar Sarawak untuk muncul sebagai pemain dalam sektor semikonduktor global, aeroangkasa dan teknologi angkasa.
Menurut beliau, inisiatif itu akan memperkukuh tumpuan Sarawak terhadap penggunaan satelit, analitik data serta pembangunan aplikasi hiliran yang memberi impak langsung kepada dunia sebenar khususnya dalam bidang berkaitan iklim seperti perhutanan, pemerhatian bumi, pengurusan bencana, penjejakan karbon dan pemantauan maritim.
“Bagi menyokong usaha ini, kami meneroka pembangunan dan pelancaran satelit Low Earth Orbit (LEO) sendiri bersama rakan antarabangsa termasuk UK bagi memperkukuh keupayaan data serta meningkatkan infrastruktur telekomunikasi, terutama di luar bandar.
“Kepakaran University of Bristol dalam kejuruteraan aeroangkasa dan teknologi satelit amat relevan dengan aspirasi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi libat urus Semikonduktor Sarawak yang dianjurkan bersama oleh SMD Semiconductor dan University of Bristol di NCC pada Selasa waktu tempatan.
Selain itu tambahnya, Sarawak juga memperluas fokus kepada aeroangkasa, teknologi satelit dan sistem berasaskan data sebagai sebahagian agenda teknologi tinggi.
Jelasnya, keupayaan ini penting memandangkan teknologi masa hadapan bergantung kepada integrasi cip, satelit dan sistem berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) masa nyata.
“Pendekatan Sarawak adalah bersifat praktikal dan berasaskan aplikasi,” jelasnya lagi.
Sesi libat urus peringkat tinggi tersebut menghimpunkan lebih 80 penggubal dasar, penyelidik dan pakar industri dari seluruh UK, sekali gus mengukuhkan kerjasama strategik dalam bidang semikonduktor, aeroangkasa, teknologi angkasa dan sistem berasaskan data.
Kemuncak program ialah sesi libat urus strategik bertemakan “Semiconductors Enabling Future Technology” yang dipengerusikan bersama oleh Profesor Martin Kuball, Pengarah Akademik dan Ketua Projek University of Bristol (REWIRE), serta Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil.
Program tersebut turut mengumumkan seorang jurutera SMD Semiconductor sebagai antara kohort pertama dalam program PhD selama empat tahun di University of Bristol di bawah tajaan Yayasan Sarawak bagi menyokong pembangunan bakat dalam teknologi maju.
Program ini juga terbuka kepada pelajar Sarjana Kejuruteraan kelas pertama dari seluruh dunia, khususnya rakyat Sarawak, dalam usaha membangunkan ekosistem semikonduktor negeri.
Delegasi Sarawak turut melawat kemudahan superkomputer Isambard-AI bagi memahami bagaimana pengkomputeran berprestasi tinggi dan kecerdasan buatan mempercepat penemuan saintifik dan industri, serta potensi penyesuaiannya di Sarawak.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Kewangan Sarawak yang juga Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel.
