KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diiktiraf sebagai pusat latihan dan peperiksaan kursus kekompetenan gas dan elektrik, sekali gus memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir tempatan dalam sektor utiliti strategik negeri.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pengiktirafan tersebut merupakan langkah penting dalam memastikan sektor gas dan elektrik diurus secara selamat, profesional serta berdaya saing.
Menurut beliau, sektor gas bukan sekadar sumber utiliti, sebaliknya merupakan aset strategik yang berkait rapat dengan pembangunan industri, pelaburan serta kesejahteraan rakyat.
“Gas ialah aset strategik yang mempunyai hubungan langsung dengan pembangunan industri, pelaburan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang pada Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi di Dewan Tunku Abdul Rahman (DeTAR), UNIMAS hari ini.
Tambah beliau, sektor tersebut menuntut tahap disiplin profesional dan kompetensi teknikal yang tinggi bagi memastikan keselamatan serta integriti sistem sentiasa terpelihara.
“Sebarang kelemahan, kecuaian atau ketidakpatuhan boleh membawa implikasi yang besar dalam sektor ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pembangunan tenaga kerja kompeten merupakan faktor kritikal dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar dan perancangan strategik negeri.
“Dasar boleh dirangka dan infrastruktur boleh dibina, namun tanpa tenaga kerja kompeten, pelaksanaan di lapangan tidak akan berfungsi dengan berkesan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengiktirafan UNIMAS membuka ruang lebih luas untuk melahirkan tenaga mahir tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran luar.
Ujarnya, majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa sektor utiliti melalui pembangunan modal insan berkualiti tinggi, selaras dengan hala tuju strategik Sarawak Gas Roadmap serta agenda pembangunan ekonomi negeri menjelang 2030.
Turut hadir Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hata Rasit dan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Syed Mohamad Fauzi Shahab.
