Sarawak Lancar Filem Animasi Muzikal Pertama

KUCHING : Sarawak melakar sejarah baharu apabila produksi filem animasi muzikal pertamanya, The White Rajah of Sarawak, rasmi dimulakan susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di Muzium Budaya Borneo hari ini.

MoU tersebut dimeterai antara Motion Foundry Sdn Bhd dan St Joseph’s Private Education Berhad bagi menerbitkan filem animasi muzikal pertama negeri ini.

Motion Foundry Sdn Bhd diwakili Penerbit Eksekutif Amy Khiu manakala St. Joseph’s Private Schools diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Christopher Chua.

Majlis menandatangani MOU disaksikan Pengarah Brooke Museums & Brooke Trust Jason Brooke dan Ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mewakili FINAS Sarawak Gregory Wee.

Projek ini turut mendapat kerjasama BorneoTalk dalam memperluaskan capaian penonton dan mempromosikan karya tersebut ke peringkat lebih luas.

Filem ini mengangkat kisah James Brooke serta permulaan Dinasti Brooke, termasuk peranannya dalam membanteras lanun dan perhambaan serta hubungannya dengan masyarakat tempatan.

Bakal ditayang pada 2028, penerbitan ini bertujuan memupuk minat generasi muda terhadap sejarah Sarawak melalui pendekatan animasi yang lebih menarik dan mudah difahami.

Hadir sama, Penolong Kanan, St. Joseph’s Private Secondary School & Pengarah Muzik, The White Rajah of Sarawak Benedict Lo, Pengarah, Motion Foundry Sdn Bhd Siew Chung Lee dan Ketua Pegawai Komersial, BorneoTalk (Rakan Media Rasmi Projek Filem Animasi The White Rajah of Sarawak), Ashley Pan.