Inisiatif pertanian bantu tingkatkan ekonomi rakyat

SPAOH: Pemerkasaan ekonomi komuniti luar bandar terus menjadi keutamaan menerusi pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan tersebut merangkumi pengukuhan rantaian nilai sektor pertanian serta penerokaan peluang ekonomi baharu melalui projek berimpak tinggi yang sedang dan akan dilaksanakan.

Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun ini, lebih 50,000 anak ayam diagihkan kepada komuniti rumah panjang dan kampung sebagai usaha menjana pendapatan, selain inisiatif memasarkan hasil ternakan bersama pihak industri.

Beliau berkata demikian pada dekat sini malam kelmarin.

Dalam pada itu, beliau berharap petani di kawasan berkenaan mampu menghasilkan produk lada tempatan yang berdaya saing hingga ke peringkat global, selain sektor pelancongan turut diperkasa melalui cadangan pembangunan replika kubu pahlawan di Bukit Sadok.

Beliau menegaskan Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kekal komited membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), subsidi pertanian serta peningkatan infrastruktur bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara menjelang 2030.

Hadir sama Datin Amar Dato Doreen Mayang; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong; Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak, Datu Jack Aman Luat dan Ketua Wanita PBB Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah.