MUKAH: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, hari ini menyantuni dua keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Bunut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu menghulurkan bantuan kepada kedua-dua keluarga terbabit.
Penerima pertama melibatkan sebuah keluarga dengan tiga isi rumah yang menerima bantuan keseluruhan berjumlah RM11,500.
Bantuan itu merangkumi RM300 di bawah Tabung Bantuan Segera, RM10,000 bagi bahan binaan, RM900 untuk pakaian harian dan RM600 sebagai wang saku.
Sementara itu, penerima kedua melibatkan sebuah keluarga dengan tujuh isi rumah yang menerima bantuan berjumlah RM5,500, terdiri daripada RM300 Tabung Bantuan Segera, RM1,200 untuk pakaian sekolah, RM800 bagi peralatan sekolah, RM2,100 untuk pakaian harian dan RM1,400 sebagai wang saku.
Bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi membantu kedua-dua keluarga membina semula kehidupan selepas kehilangan rumah dan barangan keperluan dalam kebakaran berkenaan.
