BETONG: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) meluluskan empat projek pembangunan berjumlah RM10.72 juta yang akan bermula tidak lama lagi, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek terbabit ialah menaik taraf pintu air di Kampung Kupang, Kampung Perpat Kabong dan Kampung Paloh Kabong serta
naik taraf jalan pertanian dan kerja berkaitan di kawasan Sungai Tali Paun seberang pekan Saratok.
Katanya, sebanyak empat kontraktor telah dilantik menerusi tawaran tender bagi melaksanakan projek tersebut dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong sebagai agensi pelaksana projek.
“JPS Bahagian Betong juga telah memaklumkan bahawa lawatan serah tapak projek akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian di mesyuarat BDDA di Bilik Mesyuarat JPS Bahagian Betong di sini.
Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.38 Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi mewakili ADUN Kalaka menghadiri mesyuarat itu.
Mohamad Duri sehubungan itu, berharap projek itu akan memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya golongan pekebun kecil.