Rabies kini menjangkiti kucing, trend jangkitan membimbangkan

KUCHING: Ancaman rabies di Sarawak kini memasuki fasa baharu apabila jangkitan turut melibatkan kucing selain anjing, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, perkembangan itu menuntut pendekatan lebih komprehensif bagi mengekang penularan penyakit berkenaan.

Beliau mendedahkan, setakat tahun ini, tiga kes rabies melibatkan kematian direkodkan, sekali gus menunjukkan penyakit itu masih belum dapat dibendung sepenuhnya.

Menurutnya, trend semasa memperlihatkan peningkatan jangkitan berpunca daripada kucing melalui gigitan dan cakaran.

“Separuh jangkitan sekarang datang daripada kucing, bukan hanya anjing liar,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Ramah Mesra Rakyat anjuran Gabungan Penghulu & Ketua Masyarakat Parlimen Petra Jaya di CIDB Convention Centre Sarawak di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan untuk menilai semula strategi kawalan rabies, termasuk memperkukuh pemantauan terhadap populasi haiwan serta memperluas program vaksinasi.

Dalam masa sama, pemilik haiwan peliharaan diingatkan supaya memastikan vaksinasi tahunan dilaksanakan, selain mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gigitan atau cakaran.

“Jika digigit atau dicakar, segera cuci luka dan pergi ke klinik kerana kita tidak tahu sama ada haiwan itu dijangkiti,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan terus memperkasa program vaksinasi percuma serta kempen kesedaran, namun kejayaan mengekang rabies bergantung kepada tahap keprihatinan dan tindakan masyarakat secara kolektif.