‘Raya Kita’ lambang perpaduan rakyat Sarawak

LAWAS: Sambutan Aidilfitri di daerah ini berlangsung meriah apabila lebih 10,000 pengunjung hadir ke rumah terbuka Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Dengan kehadiran tersebut, Awang Tengah melahirkan rasa syukur atas semangat harmoni dan amalan saling berkunjung yang terus subur dalam kalangan rakyat, sekali gus menjadikan Aidilfitri sebagai perayaan untuk semua.

“Syukur ramai yang datang beraya. Inilah yang dikatakan sebagai ‘Raya Kita’ kerana semua kaum dan agama hadir dengan penuh kegembiraan dalam suasana harmoni.

“Inilah keunikan Sarawak setiap kali musim perayaan, yang benar-benar mencerminkan konsep ‘Raya Kita’,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya di Hotel Seri Malaysia Lawas, semalam.

Hadir sama pada hari kedua rumah terbuka tersebut ialah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau; Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Naib Presiden Persatuan Jati Mirriek Miri, Dato Safri Datuk Abdillah.

Menurut Awang Tengah, suasana harmoni seperti itu wajar terus dipertahankan kerana ia menjadi asas kepada perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.