LINGGA: Penganjuran Regata Lingga semakin mendapat perhatian apabila mula menarik penyertaan pasukan luar negara, termasuk Brunei Darussalam.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun baharu memasuki edisi ketiga regata itu sudah mampu menarik penyertaan dari negara berkenaan.
Katanya, perkembangan itu membuktikan program tersebut berpotensi untuk berkembang menjadi festival ternama sekiranya dilaksanakan secara konsisten.
Beliau menarik perhatian kejayaan Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) di Kampung Budaya Sarawak yang bermula sekitar 30 tahun lalu dengan hanya kira-kira 300 penonton, namun selepas 29 penganjuran, jumlah pengunjung melonjak sehingga 30,000 orang.
“Jika kita mahukan peningkatan dari tahun ke tahun, kita perlu ada semangat dan keberanian untuk menganjurkan acara yang mampu menarik minat pengunjung. Festival dan acara ini ibarat semut dengan gula, apabila ada tarikan, orang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Regata Lingga 2025 Edisi Ketiga di Tebingan Sungai Lingga, hari ini.
Tambah Abdul Karim, penganjuran acara berskala besar memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat tempatan apabila petani, nelayan, peniaga kecil, usahawan dan pengusaha makanan turut meraih manfaat susulan ramai pengunjung.
Beliau berkata, dengan pembinaan jambatan dan jalan raya yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang, Regata Lingga berpotensi menjadi lebih besar sekiranya dipromosikan secara terancang.
Sehubungan itu, katanya kementeriannya akan membantu menggerakkan penganjuran temasya bukan sahaja di Lingga, malah di seluruh Sarawak, termasuk menyalurkan dana yang lebih besar kepada Regata Lingga sejajar dengan peningkatan kemudahan infrastruktur.
Abdul Karim turut memaklumkan, selaras nasihat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, penganjuran regata di seluruh Sarawak dicadangkan diadakan dua tahun sekali dan diselang-selikan dengan acara lain seperti karnival makanan dan kebudayaan.
“Makanan adalah tarikan utama pelancongan. Kita lihat kejayaan festival makanan di Samarahan apabila hasil jualan meningkat daripada RM200,000 kepada RM300,000.
“Saya yakin dalam beberapa tahun akan datang, Lingga akan muncul sebagai nama ikonik bukan sahaja di Sarawak, malah di seluruh Malaysia,” katanya.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi; Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh dan Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani.
