Kasihnya Warisan bawa pulang RM30,000, juara ‘Battle Of Titan’

LINGGA: Pasukan Kasihnya Warisan dari Mukah juara dalam acara ‘Battle Of Titan’ sempena Regata Lingga 2025, sekali gus menobatkan mereka sebagai Maharaja Sungai dalam perebutan juara antara juara di Sungai Lingga, petang semalam.

Dengan kejayaan itu, pasukan Kasihnya Warisan membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta piala.

Menurut kedudukan rasmi, pasukan Todak Berjaya berada di tempat kedua manakala Puteri Bunian Walinongsari menduduki tempat ketiga.

Sementara itu, Cahaya Intan dan Burung Garuda masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.

Hadiah disampaikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi; Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh dan Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani.

Dalam acara lain yang turut menjadi tumpuan, gelaran ‘Raja Sungai’ disandang oleh pasukan Khazanah Kasihnya Warisan, sekali gus membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta piala.

Pasukan Todak Berjaya muncul sebagai naib juara, diikuti oleh Landas Cahaya Helang Tasik di tempat ketiga, BDA Intan Terpilih di tempat keempat, dan Sri Datai SP28 Burung Garuda di tempat kelima.