RM14 juta bantu pengusaha IPAKK

KUCHING: Kerajaan memperuntukkan RM14 juta tahun ini untuk membantu pengusaha institusi pendidikan awal kanak-kanak (IPAKK) berdaftar meningkatkan kualiti perkhidmatan asuhan, bimbingan dan didikan awak kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peruntukan itu juga merangkumi program pembelajaran yang menyeronokkan, pemakanan sihat dan seimbang, pembangunan profesionalisme berterusan pendidik dan pengasuh, program melibatkan ibu bapa serta aktiviti lawatan.

“Tahun ini, Kementerian akan menekankan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman
di IPAKK,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-kanak Sarawak (IPAKS) di sini hari ini.

Beliau berkata, Sarawak akan terus meningkatkan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dan menetapkan sasaran 100 peratus kanak-kanak mengikuti prasekolah pada 2030.

Kementerian, katanya, akan kerjasama dengan agensi SeDidik Sdn Bhd, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPIN) dan Persatuan Pengusaha Tadika (AKO) untuk mencapai sasaran itu.

Menurut Fatimah, kementerian juga akan terus memperkasakan program sedia ada dan memperkenalkan program baharu bagi menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.

Selaras dengan keterangkuman daam pendidikan awal kanak-kanak, beliau berkata, perkhidmatan OSEIC akan terus dipertingkatkan.

Sejak beroperasi 30 Oktober 2020, seramai 73 kanak-kanak berjaya menamatkan program intervensi dan melanjutkan ke tahun satu kelas aliran perdana, integrasi dan pendidikan khas.

Sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk OSEIC Kuching, Dalat dan Miri tahun ini, katanya dan menambah, KPWK dan OSEIC juga akan meneruskan usaha melatih guru, pengasuh dan ibu bapa bagi meningkatkan dan kemahiran dalam menangani kanak-kanak berkeperluan khas.