PUTRAJAYA: Seramai 203 ahli rombongan dari Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Petra Jaya mengadakan lawatan di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Amar Fadillah Yusof berkata, mereka daripada DUN N6 Tupong, N7 Samariang dan N8 Satok mengadakan lawatan itu selama lima hari.
Rombongan tersebut diketuai Setiausaha Politik (SUPOL) Timbalan Perdana Menteri, Ir Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie dan turut disertai Timbalan Ketua Cawangan N6 Tupong, Datuk Dr. Zaiedi Suhaili, Timbalan Ketua Cawangan N7 Samariang dan Abd Baderi Sahmat.
Rombongan tersebut diraikan dalam majlis makan tengah hari di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2, di Sri Satria, di sini, hari ini.
Dalam hantaran Facebooknya, Fadillah berkata rombongan itu akan mengadakan lawatan ke Bentong, Pahang esok dan Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 di MITEC, Kuala Lumpur (Sabtu).