Sarawak cadang tubuh Panel Penasihat kepada perubahan iklim, CCS

KUCHING: Kerajaan Sarawak bercadang menubuhkan Panel Penasihat yang memberi tumpuan kepada perubahan iklim dan Tangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ini selepas meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023.

“Selepas meluluskan RUU ini, kerajaan bercadang menubuhkan Panel Penasihat yang memberi tumpuan kepada perubahan iklim, CCS, kredit dan harga karbon, ambang pelepasan, strategi peralihan tenaga dan menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya ketika membentangkan RUU terbabit di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Sharifah Hasidah berkata, Sarawak memperkenalkan RUU itu selepas tidak dimaklumkan atau dibawa berunding mengenai mana-mana RUU yang diperkenalkan di Parlimen untuk menguatkuasakan peruntukan berhubung Perjanjian Paris di peringkat Persekutuan.

Katanya, RUU tersebut bertujuan mengawal selia pelepasan gas rumah hijau, menggalakkan tangkapan dan penyimpanan karbon serta mengurangkan kesan perubahan iklim untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada 2050.

Tambahnya, RUU berkenaan juga bukti komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam mengamalkan strategi beralih kepada tenaga bersih dan boleh diperbaharui serta pembangunan mampan yang akan menjadi contoh kepada negara.