PETROS perlu diberi 100 peratus kuasa kendali minyak, gas Sarawak

KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) milik Kerajaan Sarawak perlu diberi kuasa 100 peratus untuk mengendalikan urusan minyak dan gas di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, PETROS di ditubuhkan pada 2018 bertujuan mengawal selia dan membangunkan sumber minyak dan gas di Sarawak.

Katanya, salah satu objektif utama PETROS untuk memaksimumkan penyertaan Sarawak dalam industri minyak dan gas serta memastikan penagihan faedahnya yang saksama kepada negeri, rakyat dan perniagaan tempatan.

“Oleh itu, kenapa tidak untuk kita berikan kuasa sepenuhnya kepada PETROS dalam mengendalikan 100 peratus urusan berkaitan minyak dan gas di Sarawak,” katanya ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) meminda Ordinan Pengagihan Gas 2016 di persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.

RUU itu dibaca kali kedua oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap ADUN Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi.

Royston berkata, ini kerana Sarawak bukannya mencuri hak orang lain dan Sarawak juga bukan tidak mampu menguruskan hasil buminya sendiri.

“Biarlah kita sendiri yang membuat keputusan ke atas hak kita,” tambahnya yang juga menyatakan sokongan terhadap usul tersebut.