Sarawak labur RM300 juta bina Pusat Seni Persembahan

KUCHING: Kerajaan Sarawak melabur sejumlah RM300 juta untuk mengubah suai bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lama menjadi Pusat Seni Persembahan dalam usaha memperkukuh industri seni.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pusat yang dilengkapi dengan kemudahan pentas dan sistem audio terkini akan menjadi platform untuk menonjolkan bakat sekali gus meningkatkan ekonomi.

Katanya, Kerajaan Sarawak komited mempromosikan budaya dan seni persembahan di wilayah ini dengan melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk meningkatkan infrastruktur yang diperlukan bagi mengembangkan bakat-bakat tempatan.

“Ini akan memberi ruang kepada orang ramai membuat persembahan seni, sama ada muzik, budaya atau apa sahaja hiburan yang kita berikan kepada penduduk tempatan dan pelancong,” ujarnya ketika berucap di majlis hiburan ‘Night At The Muzeum’ anjuran Jabatan Muzium Sarawak di Muzium Budaya Borneo (BCM) malam tadi.
Majlis tersebut turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Sementara itu, Abang Johari mengucapkan tahniah kepada Jabatan Muzium Sarawak atas usaha penyelidikan dan jaringan yang efektif dengan muzium-muzium lain di seluruh dunia.

Dengan pencapaian membanggakan ini katanya, BCM kini diiktiraf sebagai salah satu muzium terbaik di Asia Tenggara, sekaligus memperkukuh identiti budaya dan warisan di bumi kenyalang.

Beliau turut mengumumkan Lerajaan Sarawak akan memperkenalkan syarikat penerbangan sendiri pada penghujung tahun ini bagi melengkapkan hasrat untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu yang canggih dan mampu menampung seramai 15 juta penumpang.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian serta isteri Datin Amar Enn Ong Siok Ean, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar.