KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang dalam usaha membangunkan pelbagai prasarana bagi memajukan industri pelancongan di Kampung Telaga Air.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, antaranya ialah kerja penyambungan tebingan Kampung Telaga Air sehingga sepanjang 800 meter (m).
Katanya, projek penyambungan tebingan ini telah dilulus Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika dalam satu majlis di Telaga Air pada tahun lalu.
Selain itu, dua batang jalan raya baharu juga akan dibina masing-masing akan menghubungkan Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem ke Telaga Air dan Kampung Trombol yang berhampiran.
Menurutnya, dengan tiga projek pembangunan ini ia bukan sahaja dapat meningkat taraf pembangunan di Telaga Air malah ia akan memberi keselesaan kepada penduduk termasuk golongan pelancongan yang berkunjung ke kawasan ini.
“Kita di Kampung Telaga Air menzahirkan terima kasih kepada Premier Sarawak kerana memberi perhatian dan meluluskan beberapa permohonan kita untuk meningkatkan prasarana tebingan sungai di Telaga Air serta membina dua jalan raya baharu ke kawasan ini.
“Sehubungan ini, usahawan dan peniaga kecil di Telaga Air ini digesa supaya mempertingkatkan daya saing bagi memastikan sektor ekonomi penduduk dapat dipertingkatkan dengan aktiviti pelancongan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan di kawasan ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin merasmikan Kempen Keselamatan dan kebersihan di Sungai di Esplanade Telaga Air.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.4 Pantai Damai turut menasihatkan operator bot penumpang termasuk yang mengusahakan bot membawa pelancong supaya meningkat ciri-ciri keselamatan dalam bot masing-masing.
Katanya, ini ada termasuk menyediakan jaket pelampung keselamatan, keperluan dalam bot dan memastikan bot sentiasa dalam keadaan baik ataun tidak bocor.
Program itu anjuran Kementerian Pengangkutan Sarawak dengan kerjasama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak serta beberapa agensi keselamatan yang lain.
