Sarawak rancang bangunkan ART di Bintulu

BINTULU: Sarawak merancang untuk membangunkan Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di Bintulu bagi menambah baik sistem pengangkutan di bandar ini.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Bintulu perlu dihubungkan dengan Samalaju dan Kidurong, dua kawasan industri utama di Bintulu dengan menggunakan jaringan sistem pengangkutan yang lancar.

“Keputusan untuk membangunkan ART di Bintulu juga diambil setelah kajian mendalam mengenai peningkatan jumlah penduduk di bandar itu selepas Kuching.

“Ini pelaburan yang besar dan sudah tentu kita boleh menghubungkan pengangkutan awam kita dari Bintulu hingga ke Samalaju,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2024 bersama Parti Demokratik Progresif (PDP) & Ahli Parlimen Malaysia P.217 Bintulu di Dewan Suarah, di sini.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menambah dasar keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar Sarawak menarik minat pelabur dari luar negara untuk melabur dalam pelbagai industri berimpak tinggi di negeri ini khususnya di Bintulu.

Antara industri tersebut adalah tenaga solar, hidrogen, metanol hijau dan grafit yang hanya dikeluarkan di Sarawak.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Presiden PDP Dato’ Seri Tiong King Sing, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, Dan Seni Persembahan Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.