KUCHING: Kerajaan merancang membina kemudahan pelabuhan bagi kapal persiaran antarabangsa di kawasan Pantai Damai di sini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata cadangan projek melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dilihat mampu membuka lembaran baharu kepada industri pelancongan Sarawak, khususnya menarik kemasukan pelancong antarabangsa secara lebih besar dan sistematik.
Katanya, kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan kini sedang dilaksanakan bagi menilai potensi serta kesan pembangunan terhadap kawasan sekitar.
“Pelaksanaan projek itu dijangka dapat dimulakan sama ada pada penghujung tahun ini atau awal 2027, bergantung kepada hasil kajian serta proses kelulusan yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama isteri Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin di Waterfront Hotel, di sini, hari ini.
Dr Rahman berkata, kemudahan tersebut dijangka mampu menerima kapal yang membawa antara 2,000 hingga 6,000 penumpang dalam satu masa.
“Pada masa ini, kapal-kapal persiaran tidak singgah di Sarawak kerana kekangan kemudahan pelabuhan dalam yang sesuai,” katanya.
Katanya, pembinaan kemudahan pelabuhan ini juga berpotensi menarik kemasukan pelancong dalam jumlah besar secara terus ke kawasan Damai.
Katanya, pembinaan itu nanti mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama Sarawak yang telah melalui pelbagai transformasi pembangunan sejak lebih 20 tahun lalu.
Selain itu, beliau berkata kawasan pesisir pantai seperti Telaga Air turut dikenal pasti sebagai sebahagian dari “Southern Belt of Tourism in Sarawak” dengan penambahbaikan kemudahan ekopelancongan.
Beliau berkata, peningkatan jumlah pelawat terutama pada hujung minggu menunjukkan potensi besar kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan.
