Sarawak sasar bangunkan 10,000 hektar ladang buluh komersial menjelang 2030

BINTULU: Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC), Pertama Ferroalloys Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA)

memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang penanaman buluh di sini, hari ini.

Simbolik pemeterian MoU itu disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Abang Johari berkata, menerusi perjanjian itu Sarawak akan menjalankan usaha penanaman semula kawasan hutan dengan pokok buluh.

Katanya, usaha itu akan dilaksanakan STIDC dengan syarikat perkayuan.

“Bagi saya, ini adalah salah satu cara untuk penanaman hutan semula dan salah satu produk strategik adalah untuk penjanaan tenaga,” katanya selepas menyaksikan majlis MOU itu.

Abang Johari berkata, kerajaan menggalakkan pembangunan ladang buluh komersial sebagai tanda komitmen melindungi kepentingan rakyat Sarawak dan pemain industri perkayuan.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, STIDC menyediakan satu pelan induk bagi industri buluh di negeri ini untuk meningkatkan penanaman buluh secara komersial, pengeluaran benih buluh, peladangan masyarakat, penyelidikan dan pembangunan dan industri hiliran pemprosesan buluh.

Beliau berkata, STIDC menetapkan sasaran membangunkan 10,000 hektar ladang buluh komersial dan 2,000 hektar ladang buluh rakyat menjelang taun 2030.

Matlamat itu membuktikan komitmen kerajaan membangunkan ladang buluh mampan dan ladang buluh rakyat, katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Datuk Len Talif.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, Menteri di Pejabat Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengurus Besar Pertama Ferroalloys Yuki Nakamura, Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari, Pengurus Besar STIDC Zainal Abidin dan Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti.