KUCHING: Kelemahan sistem pemeriksaan sedia ada di pintu masuk negeri dikenal pasti antara faktor sindiket dadah mudah menyeludup bahan terlarang ke Sarawak, terutamanya melalui perkhidmatan kurier.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, teknologi pengimbasan yang digunakan ketika ini hanya mampu mengesan objek logam, manakala bahan terlarang seperti syabu, pil dan serbuk dadah sintetik gagal dikesan secara berkesan.
“Mesin hanya kesan logam tidak lagi mencukupi. Sindiket tahu kelemahan ini dan mereka guna sepenuhnya. Kita perlu segera tingkatkan sistem pengimbasan di semua pintu masuk negeri, terutama sekali bagi bungkusan kurier,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang diketuai Pemangku Pengarahnya, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali di pejabatnya di Kuching, hari ini.
Fatimah turut berkongsi pengalamannya semasa melawat Lapangan Terbang Miri pada tahun lalu, apabila menyaksikan sendiri timbunan bungkusan kurier yang mencecah hingga enam tan sehari, namun hanya sebahagian kecil daripadanya mampu diperiksa secara menyeluruh.
“Kita berdepan dengan cabaran teknologi dan kapasiti tenaga kerja. Bila bungkusan terlalu banyak dan sistem tidak cekap, maka mudah dadah diseludup masuk tanpa dikesan,” jelasnya.
Isu berkenaan turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Setempat (OSC) yang menumpukan kepada pencegahan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di peringkat negeri, katanya.
Dalam usaha memperketat kawalan, Fatimah berkata kerajaan negeri juga merancang libat urus bersama syarikat kurier dan logistik, bagi menilai serta memperbaiki tahap keselamatan dalam proses penghantaran.
“Kita mahu mereka turut bertanggungjawab. Mereka tidak boleh hanya hantar barang tanpa tahu apa kandungannya. Perlu ada piawaian keselamatan yang lebih ketat,” tegasnya.
Menurut Fatimah, kerajaan negeri juga bersedia mempertimbangkan pelaburan dalam teknologi saringan baharu seperti mesin sinar-X beresolusi tinggi dan sistem pengesanan bahan kimia sebagai sebahagian daripada strategi keselamatan jangka panjang.
Pelaburan ini penting demi keselamatan negeri, katanya menambah, tanpa peningkatan teknologi dan kawalan di pintu masuk, Sarawak berisiko tinggi menjadi pusat transit dadah bagi sindiket tempatan dan antarabangsa.