SAMARAHAN: Seramai 1,065 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melakukan ikrar pelajar baharu di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Kampus UNIMAS, di sini, hari ini.
Mereka terdiri daripada pelajar baharu Pusat Pengajian pra-Universiti UNIMAS bagi kemasukan Sesi 2025/2026.
Majlis ikrar pelajar baharu itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit.
Sementara itu, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, pelajar baharu terbabit telah terpilih melanjutkan pengajian dalam Program Asasi Sains, Asasi Pengkomputeran, dan International Foundation of Science di UNIMAS.
Beliau juga menegaskan bahawa ikrar yang dilafazkan dan surat akujanji pelajar baharu itu tandatangani bukan bertujuan untuk mengikat kebebasan untuk berkreativiti.
“Namun, ikrar dan akujanji tersebut adalah satu pernyataan kontrak antara anda dan universiti ini,” katanya.
Menurut beliau, ini agar mereka tidak mensia-siakankan peluang yang diberikan kerajaan, harapan besar ibu bapa, keluarga, masyarakat, dan warga pendidik yang mengiringi kehadiran mereka di universiti itu.
