Sarawak-Singapura perkukuh kerjasama

KUCHING: Kerjasama dua hala antara Sarawak dan Singapura akan terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif khususnya dalam bidang tenaga dan peluang perniagaan.

Menteri Tenaga Kerja Singapura, Dr Tan Lee Seng, berkata Kerajaan Singapura sentiasa bersedia untuk memperluas kerjasama yang lebih matang dan komprehensif bagi mengukuhkan ekonomi kedua-dua pihak.

Katanya, Singapura berharap untuk mempertingkatkan hubungan bersama Sarawak terutamanya dalam bidang tenaga.

“Kami juga sedang meneroka pelbagai inisiatif untuk meningkatkan konektiviti serta membuka peluang kerjasama perniagaan yang lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja’afar di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Katanya, kunjungan tersebut turut membincangkan hala tuju kerjasama antara Sarawak dan Singapura, sambil menzahirkan penghargaan kepada Tun Dr Wan Junaidi yang disifatkan sebagai seorang pemimpin berpengetahuan luas.

Lee Seng memulakan rangka lawatan kerja di Sarawak hari ini dan dijadual bertemu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sebelah petang.