Sepak takraw berpotensi jadi tarikan pelancongan di Lawas

LAWAS: Sukan sepak takraw berpotensi dijadikan produk pelancongan bagi daerah Lawas, selain mengekalkan permainan tradisional ini sebagai warisan budaya tempatan.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, berkata pemain sukan itu dicabar untuk mengharumkan nama daerah sekali gus mempromosikannya sebagai destinasi sukan pelancongan.

“Jadi kita cabar pemain permainan ini agar dapat mengharumkan nama sekali gus menjulang nama daerah sebagai satu lagi destinasi sukan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Jaguh Lipat Takraw Seborneo (Terbuka) 2025, anjuran Kelab Sepak Takraw Merapok (KeSTaM), di Arena Lawas hari ini.

Kejohanan itu menyaksikan penyertaan 24 pasukan dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Semenanjung Malaysia, dengan hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 serta Piala Yang Berhormat Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menanti pemenang.

Hadir sama Pengerusi Pertandingan Kadir Bayan, yang juga Pengerusi Kelab Sepak Takraw SMK Merapok Lawas, serta Pengetua SMK Merapok, Julkipli Tengah.