DALAT: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Bangunan (Pindaan) 2025 menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menggalakkan pembinaan bangunan berasaskan teknologi hijau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata, Sarawak menjadi negeri pertama memperkenalkan RUU yang mewajibkan bangunan mematuhi standard antarabangsa Indeks Bangunan Hijau (GBI) bagi mengurangkan pelepasan karbon.
“Tujuan kita menjadikan Sarawak negeri yang tidak banyak melepaskan karbon. Karbon menyebabkan bumi panas dan menjejaskan alam sekitar. Dasar kerajaan hari ini untuk kelestarian alam sekitar, menggunakan teknologi baharu dalam setiap kemudahan,” katanya.
Beliau berucap perasmian Kampus Baharu Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Dalat dan Pesta Bersaug Dalat 2025.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap ADUN Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Abang Johari menjelaskan, Sarawak turut emperkenalkan kaedah baharu dalam pembinaan jalan raya di atas tanah gambut dengan menggunakan Highway Information Modeling (HIM) dan konsep elevated road.
Meskipun kos pembinaan lebih tinggi, kos penyelenggaraannya lebih rendah dalam jangka panjang.
Dalam bidang pendidikan pula, Sarawak memperuntukkan RM665 juta untuk pelbagai inisiatif, termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), yang membolehkan pelajar universiti tempatan belajar secara percuma.
Sehubungan itu katanya, pembukaan CENTEXS Dalat diharap dapat memperkasakan kemahiran anak Sarawak melalui 14 program latihan merangkumi bidang kejuruteraan, memasak, fesyen, penjagaan warga emas dan kemahiran teknikal lain, seterusnya melahirkan modal insan kompeten yang dapat menyumbang kembali kepada negeri.
Majlis juga diserikan dengan Pesta Bersaug Dalat bertemakan “Jeulo Jenaseng” atau “Sehati Sejiwa” di Tebingan Sungai Dalat, termasuk perlumbaan perahu bidar dan penyampaian hadiah kepada pemenang.
