Peruntukan RM30,000 dilulus, replika gong Kampung Quop Dayak dinaik taraf

KOTA SAMARAHAN: Projek pembinaan replika gong di Kampung Quop Dayak bakal dinaik taraf sebagai mercu tanda baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Ibrahim berkata, langkah itu penting dalam usaha memperkukuhkan pemeliharaan warisan budaya masyarakat Dayak.

Sebanyak RM30,000 diluluskan oleh ADUN berkenaan bagi membolehkan replika gong itu diperbesarkan dan ditambah baik supaya menjadi lebih menarik serta berpotensi sebagai tarikan setempat.

“Teplika gong bukan sekadar elemen hiasan, sebaliknya melambangkan identiti, sejarah dan kebanggaan masyarakat Dayak yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Usaha memelihara warisan budaya amat penting dalam era moden bagi memastikan generasi muda terus mengenali dan menghargai akar budaya mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Replika Gong dan Perarakan sempena Hari Gawai Dayak di persimpangan Jalan Rundim, Kampung Quop Dayak, hari ini.

Hamzah turut memuji komitmen penduduk kampung mengekalkan adat resam dan budaya tradisional, selain menyifatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam perarakan Gawai sebagai bukti semangat cintakan warisan masih kukuh.

Katanya, lokasi replika gong itu berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan komuniti.

Langkah itu katanya, bukan sahaja memperkenalkan budaya masyarakat Bidayuh kepada pelawat, malah menjadi simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat Sarawak.

Sementara itu, wakil penganjur, Fato Azicos Ateng berkata, pembinaan replika gong itu bertujuan memastikan warisan dan identiti masyarakat Bidayuh terus dipelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang.

Usaha itu katanya, diharap dapat dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Sarawak pada masa hadapan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.