KUCHING: Kampung Boyan, Gersik, Sourabaya (BGS) Fun Run 2025 yang julung kali diadakan berpotensi dimasukkan ke dalam kalender sukan komuniti Sarawak selepas menerima sambutan menggalakkan daripada lebih 500 peserta.
Timbalan Menteri Jabatan Premier Sarawak yang juga ADUN Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata acara itu membuktikan kesedaran masyarakat terhadap gaya hidup sihat semakin meningkat, sambil menggalakkan penerokaan kawasan rekreasi sepanjang tepian Sungai Sarawak.
“Melihat kepada penyertaan yang pelbagai, saya mencadangkan agar Kampung BGS Fun Run dianjurkan lebih besar lagi pada masa akan datang dan dimasukkan dalam kalender tahunan,” katanya selepas menyempurnakan pelepasan peserta hari ini.
Acara kali ini turut menarik pelari antarabangsa dari Kenya dan Indonesia, menonjolkan keharmonian bandar raya Kuching dan menjadikannya destinasi pilihan komuniti larian.
Program menampilkan dua kategori iaitu 3 km dan 5 km, dengan laluan menelusuri Boyan Walk, English Tea House dan Water Cascade Fountain, memberi peserta pengalaman santai sambil menikmati panorama tepi Sungai Sarawak.
