KUCHING: Sektor pertanian mampu menjadi pemacu ekonomi baharu Sarawak sekiranya petani memanfaatkan teknologi moden sepenuhnya, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, kerajaan negeri komited mengubah landskap pertanian melalui penggunaan mesin, automasi dan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan petani.
“Pertanian moden bukan pekerjaan bergaji kecil. Ia kini kerjaya berteknologi tinggi dan berdaya saing,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, pada perasmian Karnival Medan Niaga Satok, hari ini.
Beliau turut menggalakkan golongan muda menyertai industri pertanian moden yang menawarkan potensi pulangan lebih besar, sambil menegaskan kepentingan latihan dan pendidikan berasaskan teknologi bagi melahirkan usahawan agro masa depan.
Abang Johari berkata, kerajaan sedang memperkukuh infrastruktur seperti jalan ladang, pusat pengumpulan hasil dan rangkaian logistik bagi memudahkan petani mengakses pasaran.
Beliau turut menggesa FAMA membantu Sarawak memperluas akses pasaran dan memantapkan sistem pengedaran produk tempatan.
“Dengan kerjasama kerajaan, agensi pemasaran, petani, peniaga, usahawan dan generasi muda, kita mampu membangunkan ekosistem pertanian moden yang dinamik dan mampan,” katanya.
