KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi fokus kepada pembinaan jaringan perhubungan bagi mempercepatkan pembangunan negeri, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, penyediaan jalan dan jambatan penting untuk menghubungkan bandar dan luar bandar, sekali gus membuka akses ekonomi moden kepada kawasan pedalaman.
“Jaringan perhubungan yang tersedia akan menghubungkan kawasan pedalaman serta mendedahkannya kepada ekonomi moden,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Sarawak Development Institute (SDI) Ke-30 di sini, malam tadi.
Abang Johari turut berkongsi pengalaman beliau semasa menjadi Menteri Pembangunan Industri, berkata kadar kemiskinan tinggi di Pulau Bruit sebelum kawasan itu dihubungkan melalui Jambatan Batang Rajang yang kini memendekkan perjalanan Sarikei–Pulau Bruit kepada 30 minit.
Katanya, pembangunan infrastruktur asas turut memperluas akses pasaran bagi produk luar bandar dan merancakkan sektor pelancongan. Beliau menegaskan kemampuan kewangan Sarawak yang kukuh—dengan bajet negeri mencecah RM12 bilion berbanding RM6 bilion peruntukan Persekutuan—membolehkan negeri itu membangun mengikut acuan sendiri.
Tambahnya, kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada ekonomi digital, termasuk penggunaan teknologi dalam pertanian seperti IoT, pemantauan digital dan penyelidikan baja serta DNA tanaman, selain teknologi hidrogen dalam sektor pengangkutan.
