25 pelajar SJK Chung Hua Matu Khatam Al-Quran

MATU: Majlis Khatam Al-Quran peringkat SJK Chung Hua Matu berlangsung meriah,disempurnakan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.

Majlis menyaksikan 25 murid menamatkan bacaan Al-Quran, dengan perarakan simbolik menggunakan tandu berbentuk bot dan rumah, mencerminkan identiti budaya Matu dan Daro.

Ahmad Johnie disambut secara unik dengan beca berhias yang ditarik guru besar, menonjolkan keakraban antara pemimpin dan warga sekolah.

Dalam ucapannya, Ahmad Johnie menekankan kepentingan mempelajari Al-Quran dengan bimbingan guru untuk memastikan tajwid, sebutan dan kaedah bacaan tepat.

Beliau turut menyaran agar murid mengamalkan Al-Quran sebagai panduan hidup, serta menekankan pedoman penting setiap surah, khususnya Surah Al-Asr mengenai kepentingan masa.

Beliau turut mengumumkan pemberian dua set Smart Board bagi setiap sekolah di kawasan itu bermula tahun hadapan dalam usaha memperkasakan pendidikan digital.

Majlis diserikan dengan penyampaian sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP)
berjumlah RM45,000 kepada:
• SJK Chung Hua Matu – RM23,000
• JKK Pasar Lama Matu – RM5,000
• Masjid Kampung Bawang Matu – RM5,000
• SMK Matu – RM12,000

Hadir sama ialah Wakil Pegawai Pendidikan Daerah Daro, Rodi Bujang, Guru Besar SJK Chung Hua Matu, Kong Sing Ngong dan Jamaludin Sharaee, Yang Dipertua PIBG SJK Chung Hua Matu.