Belanjawan berimpak positif bantu rakyat – Paulus

KUCHING: Jumlah yang besar diperuntukkan untuk tujuan pembangunan dalam Belanjawan Sarawak 2026 sekali lagi mencerminkan keprihatinan dan kepedulian Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap masyarakat keseluruhannya dan rakyat di luar bandar khasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Ngumbang berkata, peruntukan yang sedemikian sudah tentu akan mempunyai impak positif dalam membantu masyarakat luar bandar.

“Ini sekali gus membolehkan rakyat mencapai satu tahap pembangunan y ang lebih mampan dan memenuhi keperluan asas yang diperlukan,” katanya semasa membahas Belanjawan Sarawak 2026 pada persidangan DUN di sini.

Menurut Paulus, keperluan asas yang sangat rakyat perlukan ialah jalan perhubungan desa, bekalan elektrik dan bekalan air bersih.

Beliau sehubungan itu menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak atas pelaksanaan dua projek utama yang kini sedang dilaksanakan di Limbang dan Lawas iaitu Sarawak/Sabah Link Road Fasa 2, Lebuh Raya Pesisir kawasan Utara dan pembinaan jalan dua hala Nanga Medamit ke Kampung Pulau Brunei.

Jalan Simpang Sayan ke Ulu Lubai pula sekarang dalam peringkat pelaksanaan, katanya dan menambah, namum demikian masih banyak lagi jalan uatama di kawasan Batu Danau yang perlu dinaiktaraf.

Antaranya Jalan Bawang Ubor (Jalan Ulu Tubai) ke Tanah Merah dan Jalan Simpang Kubong/Ulu Pandaruan/Nanga Medamit, katanya.