ADUN Kabong desak segerakan naik taraf utiliti asas

KUCHING: Isu utiliti asas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong terus mendapat perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir mendesak kerajaan negeri serta agensi berkaitan mempercepat penambahbaikan bekalan elektrik, air dan telekomunikasi yang masih gagal ditangani sepenuhnya.

Beliau berkata, ketidakstabilan bekalan elektrik termasuk turun naik voltan dan kejadian ‘tripping’ ketika cuaca buruk menyebabkan kerosakan peralatan penduduk, sekali gus menunjukkan infrastruktur grid sedia ada tidak lagi mampu menampung pembangunan pesat di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerja naik taraf grid Saratok–Kabong dipercepatkan melibatkan penggantian tiang dan talian lama serta penyempurnaan sambungan kekal bagi penempatan berselerak dan projek ALAF yang masih tertangguh.

Mengulas isu air, Chee Kadir memaklumkan Loji Rawatan Air Lichok melalui projek Acute System telah siap, memberi manfaat kepada tiga kawasan DUN iaitu Kalaka, Krian dan Kabong.

Namun, penduduk Ulu Roban masih menunggu pelaksanaan projek bekalan air yang diluluskan sejak 2021.

Beliau turut menggesa penambahbaikan telekomunikasi dengan pembinaan menara baharu dan peningkatan liputan 4G ke 5G di kawasan kritikal seperti Nyabor, Gerigat, Emplam, Plassu dan Ulu Roban. Kawasan tumpuan seperti Pekan Kabong dan Pantai Tanjung Kembang turut diminta diberi keutamaan.

Dalam aspek kesihatan, beliau memaklumkan Klinik Kesihatan (KK) Kabong dan KK Nyabor memerlukan ambulans baharu ekoran kerosakan berulang.

Beliau turut mencadangkan KK Kabong dinaik taraf ke skala empat serta pembinaan sebuah hospital daerah bagi menampung pertambahan penduduk.

Selain itu, beliau turut menuntut segerakan pemberian geran tanah yang tertangguh serta memperkasa komuniti nelayan melalui bantuan bot dan peralatan moden.

Chee Kadir turut mencadangkan had umur bagi Lesen Sampan Khas diturunkan kepada 18 tahun dan menyarankan agar Kabong International Beach Trail Marathon dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Rasmi Sarawak, seiring keperluan pembangunan lain di kawasan tersebut.