KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan hijau negara dengan memanfaatkan kekayaan sumber asli dan kapasiti tenaga boleh diperbaharui yang berkos rendah.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, kelebihan utama negeri ini ialah rizab gas asli yang besar serta tenaga boleh diperbaharui yang stabil dan berpatutan, sekali gus menjadikan Sarawak lokasi strategik untuk pengeluaran hidrogen rendah karbon.
Sarawak kini memegang kira-kira 60 peratus rizab gas asli Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Menurutnya, daya tarikan pelaburan turut diperkukuh oleh tarif elektrik rendah, ketersediaan tanah, infrastruktur strategik melalui RECODA dan SEDC, serta dasar negeri yang jelas termasuk Dasar Peralihan Tenaga dan Pelan Ekonomi Hidrogen Sarawak.
Pelabur juga boleh memanfaatkan insentif MIDA seperti GITA, GITE dan ITA bagi projek hijau yang layak.
Sarawak kini mempunyai kapasiti penjanaan elektrik 5,898 megawatt, dengan 70 peratus daripada sumber hidro.
Sarawak merancang meningkatkan kapasiti kepada 10,000 megawatt menjelang 2030 dan 15,000 megawatt menjelang 2035, menyokong aspirasi menjadi ‘Bateri ASEAN’, katanya.
