Bintulu bakal miliki pusat transit gelandangan baharu

KUCHING: Fasiliti Tempat Transit Gelandangan (TTG) di Bintulu kini berada dalam fasa persiapan akhir dan dijangka mula beroperasi pada suku pertama tahun depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pusat tersebut berupaya menempatkan sehingga 30 gelandangan iaitu 18 lelaki dan 12 perempuan bagi menyediakan perlindungan sementara serta meningkatkan kesejahteraan komuniti.

“TTG Bintulu dilengkapi untuk menempatkan sehingga 30 individu gelandangan,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming pada persidangan DUN Sarawak Ke-19, hari ini.

Menurutnya, fasiliti itu turut menyediakan khidmat kaunseling, latihan kemahiran dan padanan pekerjaan bagi membantu gelandangan produktif disepadukan semula ke dalam masyarakat.

Beliau menambah, pelaksanaan program berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta sebagai rakan strategik.

Setakat ini, dua TTG beroperasi di Kuching dan Sibu, menyediakan khidmat sokongan komprehensif untuk memperkasa golongan gelandangan di negeri ini.