KUCHING: Sarawak optimis mencapai sasaran kunjungan lima juta pelancong tahun ini, meskipun jumlah yang diperlukan bagi dua bulan terakhir agak mencabar.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setakat Oktober lalu, negeri itu merekodkan kehadiran 4.01 juta pelancong dengan nilai resit pelancongan sebanyak RM10.2 bilion.
Menurutnya, bagi mencapai sasaran lima juta, Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 450,000 pelancong setiap bulan pada November dan Disember, berbanding purata ketibaan biasa sekitar 420,000 hingga 430,000 pengunjung.
“Walaupun sasaran mungkin sukar dicapai, prestasi pelancongan setakat ini amat memberangsangkan,” katanya semasa sidang media Sarawak International Festival of Music & Arts (SIFMA) 6.0 selepas menghadiri persidangan DUN Sarawak Ke-19, hari ini.
Beliau berkata, sasaran lima juta pelancong akan terus menjadi fokus tahun depan, lebih-lebih lagi dengan pelancaran syarikat penerbangan AirBorneo yang dijangka merancakkan sektor pelancongan negeri.
Abdul Karim turut berharap beberapa acara besar penghujung tahun seperti Konsert Andmesh Kamaleng pada 28 November ini Konsert Fenomena Samurai menampilkan Search dan XPDC pada 13 Disember serta Sambutan Ambang Tahun 2026 mampu menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Sementara itu, SIFMA 6.0 yang berlangsung dari 5 Disember hingga 7 Disember di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak turut menampilkan pertunjukan fesyen antarabangsa sebagai antara tarikan utama.
Program anjuran International Music House itu memperluas capaian promosi mereka dengan penglibatan artis dan pereka dari dalam dan luar negara.
“Pertunjukan fesyen elegan kali ini melibatkan pereka dari Hong Kong, Indonesia, Semenanjung Malaysia dan beberapa negara lain. Selain itu, artis serta penggiat seni dan pemahat dari Sarawak, termasuk Majlis Kraftangan Sarawak, turut mengambil bahagian melalui pameran khas,” jelasnya.
Sebanyak 18 kumpulan dan individu dari Vietnam, Indonesia, China, Filipina, Taiwan, Thailand serta Malaysia dan Sarawak dijadual membuat persembahan sepanjang SIFMA 6.0.
