LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menggesa semua pangkalan hadapan agar siap siaga menyediakan keperluan bekalan makanan untuk mangsa banjir.
Beliau berkata, bekalan makanan untuk mangsa bencana banjir mesti mencukupi dan paling penting ialah semua makanan yang dibekalkan tidak lupus tarikh luputnya.
“Kita minta Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) yang merupakan pangkalan hadapan untuk bekalan makanan dan keperluan lain memastikan segala keperluan mencukupi,” katanya pada mesyuarat kesiapsiagaan Monsun Timur Laut bagi daerah Lawas di sini semalam.
“Paling penting ialah agihan bekalan mesti efisien dipermudahkan dan tidak mahu mendengar aduan yang bekalan makanan yang disediakan itu tamat tarikh luputnya,” katanya.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang, Unos Tambi, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas, Azman Ibrahim.
Awang Tengah turut meminta JKM Lawas memperbaiki kaedah untuk menyalurkan bekalan makanan melalui cara yang lebih baik dan keselamatan makanan sentiasa terjamin.